Amalan Sunat Aidiladha


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Tuhan sekalian alam atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Selawat dan salam kita kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat atas usaha gigih mereka menyampaikan nikmat Allah yg terbesar kepada kita. Mudah-mudahan kita sentiasa mensyukuri nikmatNya dan menghargainya.

Kita sangat bersyukur dengan kehadiran Eid Adha, salah satu hari perayaan daripada dua yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kita khusus sebagai umat Islam. Kita juga sangat bersyukur dengan anugerah 10 hari terawal Zulhijjah yang mana di dalamnya terkadung kelebihan-kelebihan yang tidak diperolehi di hari-hari lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.:

“Tidak ada hari di mana amal soleh yang dilakukan di dalam hari tersebut lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini (10 hari terawal bulan Zulhijjah).” Sahabat bertanya: “Walau pun jihad wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Walau pun jihad di jalan Allah. Kecuali pahala seorang pemuda yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya, kemudian dia tidak pulang dan hartanya juga tidak pulang.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang memanfaatkan hari-hari tersebut dengan zikir, puasa dan amalan-amalan soleh yang lain.

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Aasyura’, 9 hari terawal bulan Zulhijjah, tiga hari dalam sebulan, dua Isnin dan Khamis terawal dalam sebulan.”(Riwayat Nasa’ie dan Ahmad)

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Kisah pengorbanan dengan Eid Adha tidak pernah lekang. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sudah cukup untuk mengajar kita erti pengorbanan yang sebanar. Kita juga punya kisah pengorbanan kita yang tersendiri. Kita sebagai pelajar, berkorban masa dan tenaga untuk mendapat yang terbaik dalam pelajaran. Kita sebagai kawan, berkorban perasaan dan harta untuk memenangi hati dan menjaga persahabatan. Kita sebagai hambaNya, berkorban segala-galanya semata-mata untuk mendapatkan redhaNya. Di mana pun kita, siapa pun kita, pengorbanan tetap menjadi sesuatu yang tidak boleh lari dari kehidupan kita.

Harapnya semakin banyak kita menerima (nikmat) dan semakin banyak kita memberi (berkorban) kita akan tetap bersyukur kerana atas segalanya Allah mahukan yang terbaik untuk kita. Semoga kita menjadi hamba yang lebih bersyukur.

Beberapa amalan sunat Aidiladha:

1) “Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah melebihi amalan menyembelih binatang korban. Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti beserta tanduk, kuku dan bulunya. Darah binatang korban tersebut akan jatuh di satu lantai kemuliaan di sisi Allah sebelum jatuh ke tanah. Maka berbahagialah jiwa dengannya.” (Riwayat Al-Hakim, Ibnu Majah dan Termizi)

2) Bertakbir bermula dari subuh hari Arafah sehingga ke akhir hari Tasyriq.

Firman Allah:

“Dan berzikirlah kepada Allah pada hari-hari yang tertentu (Arafah sehingga ke hari Tasyriq…)” (Al-Baqarah: 203)

3) Menunaikan solat sunat Aidil Adha secara berjemaah di kawasan lapang.

Firman Allah:

“Maka bersembahyanglah menghadap Tuhanmu dan lakukanlah korban.” (Al-Kauthar: 2)

4) Makan daging korban yang disedekahkan oleh sesiapa yang melakukan korban.

Ibnu Qayyim berkata di dalam Zadul Maad:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak menjamah makanan sehinggalah Baginda s.a.w. pulang dari masjid lalu Baginda s.a.w. menjamah daging korban.”

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu ‘am wa antum bikhair

0 ilhamNya: